Ucapan Dasar Presiden PMIKPL sesi 07/08

1.0 MUQADDIMAH

Bismillahirrahmanirrahim…

Assalamualaikum wrt.wbt

Segala puji bagi Allah, tuhan sekalian ‘alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. beserta ahli keluarga baginda, para sahabat, para tabi’ dan tabi’in serta seluruh kaum muslimin dan muslimat yang berusaha menegakkan agama Allah diatas bumi yang fana ini.

Terima kasih kepada saudara pengerusi tetap muktamar, yang dihormati perasmi Muktamar Sanawi PMIKPL, wakil dari pihak pentadbiran kolej, saf kepimpinan Persatuan Mahasiswa Islam Kumpulan Pendidikan Legenda, wakil persatuan seterusnya muktamirin dan muktamirat yang dikasihi sekalian.

Alhamdulillah… bersyukur kita kepada Allah s.w.t. di atas limpah rahmat dan kasih sayangNya, kita berpeluang merasai kehangatan bermuktamar dalam Muktamar Sanawi PMIKPL sesi 2007/2008 kali yang ke-6. PMIKPL telah mencapai usia 6 tahun dalam cuba untuk menjaga kesucian islam di kampus Kumpulan Pendidikan Legenda yang penuh dengan hikmahnya ini. Dalam usia untuk meningkat dewasa ini, PMIKPL sudah mula untuk menghadapi pelbagai cabaran dan mehnah dalam dunia yang sedang dilanda arus deras kemodenan ini.

.

2.0 PMIKPL : 6 TAHUN UNTUK MENCORAK

2.1 Dasar dan matlamat

Muktamirin dan muktamirat sekalian,

Persatuan Mahasiswa Islam Kumpulan Pendidikan Legenda (PMIKPL) telah ditubuhkan pada tahun 2002 iaitu ketika Kampus Legenda berada di Langkawi. Setiap Mahasiswa Islam KPL secara tidak langsung merupakan ahli kepada PMIKPL. Dasar PMIKPL adalah Islam. PMIKPL ditubuhkan demi menjaga kepentingan mahasiswa Islam seterusnya bersama-sama mengajak mahasiswa untuk mengembleng tenaga menjaga kesucia Islam di kampus KPL yang tercinta ini. Ini selari dengan matlamat utama PMIKPL iaitu untuk menjaga kesucian Islam sebagai Ad-Din berteraskan Al-Qur’an dan As-sunnah. Firman Allah s.w.t. :

“Maka hadapkanlah dirimu (wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu) kea rah Deen yang lurus sebagai fitrah Allah yang menciptakan manusia diatasnya, tidak ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu, inilah Din yang betul dan lurus, tetapi kebanyakkan manusia tidak mengetahuinya.”

(Ar-Rum : 30 )

PMIKPL berusaha untuk memperbaiki keadaan ummah agar menjadi umat terbaik yang menyeru manusia kepada yang ma’ruf dan mencegah kemungkaran, sebagaimana firman Allah s.w.t.

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah” (Ali-Imran : 110 )

Inilah prinsip tunjang PMIKPL tetap bertegas untuk tidak bersekongkol dengan sebarang kemungkaran yang berlaku.

2.2 Medan Tarbiyyah dan Perjuangan

PMIKPL merupakan persatuan induk yang menjadi bahan perjuangan mahasiswa Islam kampus. PMIKPL juga merupakan suatu jalan dari rantaian gerakan Islam seluruh dunia yang menjadi medan tarbiyyah untuk seluruh mahasiswa KPL dalam merealisasikan tugas sebagai khalifah di muka bumi Allah ini.

Rentetan pelbagai penindasan dan ketidakadilan yang menimpa umat Islam pada zaman ini, mahasiswa Islam seharusnya menjadikan PMIKPL sebagai batu loncatan untuk bersama-sama mengembalikan ‘izzah umat Islam agar terus digeruni dan dihormati bukannya diperkotak-katikkan oleh mereka yang ingin menjatuhkan maruah umat Islam. Dengan usia PMIKPL 6 tahun ini, mudah-mudahan banyak yang boleh diperbaiki dan pengalaman semakin bertambah untuk terus maju dalam menjaga kesucian Islam itu sendiri. Oleh itu, saya menyeru kepada setiap mahasiswa Islam termasuk diri saya agar mempertingkatkan kualiti diri dengan cara mendalami pelbagai bidang keilmuan merangkumi ilmu dunia dan akhirat, meningkatkan dan mengukuhkan kefahaman Islam, memberati masalah tarbiyyah, memperketatkan disiplin, memperbanyakkan pengorbanan, menjaga kesucian Islam dari tercemar dan berusaha menyampaikan seruan dakwah kepada seluruh umat manusia.

Justeru itu, satu anjakan paradigm dari mahasiswa Islam amat penting kea rah merealisasikan kegemilangan Islam. Adalah menjadi harapan agar mahasiswa Islam berusaha menerapkan syakhsiyah Islamiah bermula daripada diri sendiri. Ini penting kerana pendukung gerakan Islam merupakan ‘role model’ kepada masyarakat dalam setiap aspek dan bidang yang diceburi. Keikhlasan dan kefahaman yang diterapkan dalam jiwa pendukug Islam, InsyaAllah akan melahirkan generasi yang terus istiqamah dan berani ke hadapan demi menegakkan Islam yang tercinta.

3.0 KUMPULAN PENDIDIKAN LEGENDA

Kolej Legenda kini sudah bertukar nama kepada Kumpulan Pendidikan Legenda (KPL) memperlihatkan imej Kolej dengan prestasi yang cemerlang dalam masa yang sama semakin dikenali di dalam mahupun luar Negara. KPL dengan kapasiti pelajar melangkaui 3000 orang, juga tidak terlepas daripada permasalahan aqidah, masalah social, kebajikan mahasiswa, akademik,pembentukan perpaduan dan kepimpinan yang cemerlang.

3.1 Aqidah

Salah satu syarat sesuatu amal diterima oleh Allah swt adalah mempunyai aqidah yang sahih. Dalam usaha untuk memastikan aqidah Islam terbela di KPL ini khasnya, PMIKPL melalui institusi usrah, menjadi perintis kepada rohani dan asas pengenalan aqidah adalah antara cabang pengisian yang disentuh dalam setiap usrah yang dilakukan.

Perpaduan dan kecemerlangan mahasiswa tidak mungkin terbentuk tanpa adanya kesatuan fikiran dan amal ( wehdatul fikr dan wehdatul amal). Tidak perlu kita bertelagah, berkelahi sesame sendiri hanya kerana perbezaan fahaman dan perkara-perkara kecil sehingga mengabaikan penjagaan aqidah ummah. Fitrah manusia sentiasa inginkan kebaikan dan ia hanya dapat ditingkatkan dengan mengikut undang-undang yang ditetapkan oleh Allah. Jika tidak, manusia akan berkelakuan lebih teruk daripada haiwan.

3.2 Masalah sosial

Masalah sosial yang melanda umat Islam kini semakin serius. Situasi yang amat membimbangkan ini juga berlaku di dalam kampus KPL. Apa yang menyedihkan ialah majority mereka yang terlibat dalam masalah sosial ini adalah mahasiswa Islam dan ia menuntut kesan jangka panjang. Tidak perlulah ana sebutkan senarai masalah sosial di KPL ini kerana anda semua sudah maklum.

PMIKPL menyeru kepada semua mahasiswa Islam untuk bersama-sama dalam menangani masalah ini dan menanam kesedaran dalam diri dan kepada rakan-rakan yang lain. Kita perlu sedar bahawa kita adalah mahasiswa yang merupakan golongan intelek yang diumpamakan sebagai nadi dan sendi agama, bangsa dan Negara. Seharusnya golongan intelek inilah yang membawa masyarakat keluar daripada masalah-masalah sosial yang merugikan diri sendiri. Ke mana lagi yang ingin disasarkan untuk pembangunan syakhsiah ummah, kalau tidak hala tuju sasaran itu disasarkan kepada golongan muda.

Ingatlah matlamat asal dan perbetulkanlah niat kita memasuki menara gading. Apakah kita ingin menghancurkan masa depan hanya kerana perbuatan tangan sendiri.

3.3 Akademik

Sebagai mahasiswa, tugas ataupun peranan utama apabila kita berada di menara gading ini adalah untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam bidang akademik. Inilah amanah dan tanggungjawab yang terpikul ke atas kita semua, samada kita sedar atau kita tidak tanggungjawab ini perlulah dilaksanakan dengan sebaik yang mungkin supaya kita dapat memahami peranan sebenar kita semasa berada di dalam kampus.

Kita tidak mahu mahasiswa memandang ringan amanah ini, kerana inilah tiket untuk kita berada di dalam kampus. Kita merasa sedih apabila melihat laporan-laporan akhbar tentang ketidakseriusan pelajar Melayu di IPTA mahupun IPTS, kita juga bimbang dengan sindrom ‘cukup makan’ yang berterusan di kalangan kita sehinggakan tidak merasa bimbang apabila hanya sekadar lulus 2.0 sahaja. Sindrom ini perlulah kita hentikan dengan melipatgandakan usaha serta meningkatkan semangat bersaing dengan kaum lain.

Justeru itulah kita mengajak semua mahasiswa supaya dapat berfikir secara matang dengan mengambil semua peluang yang ada di dalam kampus ini untuk kita manfaatkan segala ilmu yang diperolehi secara formal atau tidak, supaya kita dapat menjadi graduan yang berkualiti dan berkaliber apabila keluar nanti. Inilah harapan masyarakat kepada kita yang bergelar mahasiswa.

3.4 Kepimpinan

Kepimpinan merupakan perkara yang penting di dalam sesebuah organisasi, ini disebabkan ianya sering dikaitkan dengan keberkesanan dan kecekapan sesebuah organisasi samada semakin mantap ataupun sebaliknya.

Di dalam Islam, konsep kepimpinan dirujuk kepada sesiapa sahaja yang diberi tanggungjawab untuk menjaga ahli di bawahnya. Ini menunjukkan yang kita semua adalah pemimpin, walaupun hanya memimpin diri kita sendiri. Dan kita perlu ingat bahawa setiap dari kita akan dipersoal tentang apa yang kita pimpin.

Di mana sabda Nabi S.A.W :

“setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin itu ada pertanggungjawabannya”

Justeru itu sebagai mahasiswa Islam, kita mestilah cuba mencontohi kepimpinan Rasulullah S.A.W yang juga di kenali sebagai Kepimpinan Al-Amin. Di mana kita melihat cirri kepimpinan Rasulullah yang cukup telus dan lengkap untuk kita ikuti, dari segi pergaulannya, tutur katanya, perbuatannya, semuanya cukup hikmah sehinggakan kita tidak melihat sebarang kecacatan dan kelemahan yang ada pada kepimpinan Rasulullah S.A.W. Sesuai dengan Firman Allah Taala dalam Surah Al-Ahzab ayat 21 yang diturunkan :

“Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (Balasan yang baik) pada hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengigati Allah banyak-banyak samada (ketika susah ataupun senang).”

Oleh itu kepimpinan dalam Islam bukanlah perkara remeh dan oleh diambil mudah, ianya merupakan soal Qiadah yang mencerminkan kepimpinan Islam yang sebenar dengan akhlaknya, keilmuannya serta ketaqwaannya yang dapat mencontohi kepimpinan Rasulullah S.A.W. Kewibawaan kepimpinan Al-Amin pada hakikatnya bergantung kepada sejauh manakan mereka mampu memenuhi tanggungjawab dan berusaha mencapai tujuan dan matlamat kita sebagai hamba Allah di muka bumi ini. Selain itu kita juga harus melihat di sebalik proses kepimpinan itu sendiri, di mana jika pemimpin itu melencong dari landasan yang asal maka orang lain yang berada bersamanya haruslah membimbing pemimpin tersebut kembali ke jalan yang sebenar. Supaya semua orang samada yang berada di bawah ataupun di atas masing-masing mempunyai peranan dalam menegakkan Islam ini.

3.5 Muslimat mendepani cabaran

Firman Allah S.W.T did ala Surah At-Taubah ayat 71 berbunyi :

“Dan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain, mereka menyuruh kepada kebaikan dan melarang daripada melakukan kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan member zakat serta ta’at kepada Allah dan rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah, sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana”.

Era siber yang melanda dunia kini menuntu muslimat untuk turtu bersama-sama meningkatkan prestasi diri dalam pelbagai bentuk keilmuan dan menginterprestasikan ilmu demi kecemerlangan ummah. Muslimat merupakan golongan majority yang menyumbangkan tenaga kerja untuk Negara. Dalam usaha mendepani cabaran masa kini, muslimat seharusnya menyiapkan diri dengan kemantapan fizikal, mental dan rohani agar tidak diperkotak-katikkan dan didiskriminasikan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab, yang hanya ingin meraih keuntungan sahaja. Kesedaran ini penting kerana muslimahlah yang bakal mencorakkan generasi hari ini yang banyak terdedah dengan kecanggihan teknologi masa kini, Muslimat bukan sekadar hanya untuk melahirkan generasi yang celik dengan era siber dan kepesatan pembanggunan tetapi kita ingin melahirkan generasi rabbani yang intelektual. Ini adalah berdasarkan keyakinan kita bawaha dunia yang ditadbir dengan golongan intelektual tanpa roh jihad hanya akan menjadi perosak Negara. Contohnya seperti jenayah kolar putih.

Oleh itu saya menyeru kepada muslimat untuk sama-sama mendepani cabaran era siber kini dengan persiapan yang mampan. Sesungguhnya tangan yang menghayunkan buaian inilah yang akan mengegarkan dunia.

4.0 KESIMPULAN DAN PENUTUP

Muktamirin/at yang dihormati,

Setiap apa yang berlaku mesti ada hikmahnya. Allah SWT tidak akan menjadikan sesuatu perkara itu tanpa ada tujuaannya. Justeru itu Allah menyarankan pada sesiapa yg beriman supaya berfikir dan bertindak. Oleh sebab demikianlah PMIKPL memperkenalkan LEGENDA DARUL HIKMAH, bertujuan mengajak seluruh mahasiswa memikirkan apa hikmahnya disebalik mereka atau kita berada disini. Dari permulaan kita masuk ke dalam kolej legenda hingga tamat pengajian disini.

Dalam hubungan ini Allah SWT berfirman :

“Maka apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya kami menciptakan kamu untuk bermain-main (sahaja) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada kami, maka Maha Suci Allah raja yang sebenarnya tiada Tuhan selain Dia, Tuhan (yang mempunyai) arasy yang mulia.”

(Al-Mukminun : 115-116)

FIkir-fikirkanlah secara dalam maksud tersirat disebalik ayat ini. Moga-moga dengan pemahaman kita yang mendalam berkenaan agama, membuatkan kita lebih istiqamah dalam perjuangan yang bermatlamatkan satu iaitu menjaga kesucian Islam di KPL ini sendiri seterusnya mencapai keredhaan Allah SWT.

Marilah kita kembali kepada Islam kerana hanya dengan Islam sahajalah segala permasalahan ummah dapat diselesaikan. Ayuhlah kita bersatu tenaga, berganding bahu memupuk semangat kerjasama untuk menuju kecemerlangan ummah agar Islam terus gemilang. Semoga kita menjadi hamba yang diredhai Allah s.w.t.

Wabillahi taufik wal hidayah, wassalamualaikum warah matullahi wbt.

Sekian, terima kasih.

Takbir !!!

Allahu Akbar.