Perutusan Ramadhan 08

Bismillahirrahmanirrahim


Alhamdulillhirabbil ‘alamin, bersyukur kepada Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurniaNya, kita masih dihidupkan sehingga di bulan Ramadhan al-mubarak ini, bulan penuh rahmat dan keberkatan , didalamnya terdapat tawaran dari yang Esa untuk keampunan dan malam yang lebih baik dari seribu bulan.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

“Hai orang-orang yang beriman diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa, (yaitu) dalam beberapa hari yang tertentu. [Surah Al-Baqarah: 183]

Tarbiah Ramadhan merupakan satu didikan yang terbaik untuk manusia berusaha merubah diri kepada yang lebih baik dan lebih bertaqwa. Tidak terkecuali kepada golongan seperti kita, golongan pelajar merangkap golongan remaja yang sentiasa diuji dengan cabaran zaman fitnah ini, yang sedikit sebanyak menghayutkan kita dalam arus maksiat yang menggila. Seharusnya bulan ini menjadi medan penting untuk kita membina semula perisai yang akan menahan segala ombak badai yang melanda dalam usaha kita menuntut ilmu dan mencari keredhaanNya.

Namun amat rugi dan jahillah bagi mereka yang menganggap bulan yang penuh mulia ini setaraf dengan bulan-bulan lain, terus tenggelam dengan maksiat dan dosa, terus tetap dalam kelalaian dari mengingatiNya seperti bulan-bulan yang lain. Sedangkan Allah telah memberikan peluang kepada manusia untuk berusaha memperbaiki diri, tatkala syaitan telah dibelenggu, pintu neraka ditutup serapat-rapatnya dan pintu syurga dibuka dengan seluas-luasnya, mengapa kita tetap meraikan nafsu kita yang serakah itu? Berjaga-jagalah bagi mereka yang dikurniakan nikmat Ramadhan tetapi dengan berlalunya berpuluh-puluh siri bahkan mencapai ratus siri Ramadhan dalam hidup mereka, mereka tetap tidak mendapat keampunan dariNya kerana sifat sombong dan takbur untuk meminta ampun kepadaNya.

Semoga bulan ini dapat mendidik kita untuk keluar dari nafsu ammarah dan mencapai nafsu lawwamah seterusnya mencapai nafsu mutmainnah, insyaAllah. Bersama-samalah kita menghadapi Ramadhan dengan keinsafan, disamping berusaha memperbaiki diri untuk meningkatkan kefahaman dalam agama, serta meminta keampunan kepada Allah. Semoga usaha kita mendapat keredhaan Allah S.W.T. hendaknya.

PERUTUSAN PRESIDEN
PERSATUAN MAHASISWA ISLAM 08/09

No response to “Perutusan Ramadhan 08”