KENYATAAN BERKAITAN "GALA NIGHT"

Assalamualaikum w.b.t kepada semua pelajar dan pembaca yang dihormati.

Seperti yang kita semua maklum, pihak HEP telah berjaya mengadakan satu program "GALA NIGHT" dengan tujuan memberi penghargaan kepada para pelajar dan staff yang banyak berjasa dalam banyak aspek disamping menyediakan sedikit hiburan kepada para pelajar. Tahniah diucapkan.

Namun begitu, kami berpendapat ada beberapa perkara yang perlu diambil perhatian, khusus kepada pelajar, sebagai peringatan dan respon kepada perkara yang telah terjadi pada program tersebut.

1) Pihak kami amat mengesali atas apa yang telah terjadi pada malam tersebut terutamanya apabila keadaan menjadi tidak terkawal dan kelam kabut. Kami pada asalnya telah menghantar wakil kepada pihak HEP melalui setiausaha pada tarikh 13 Oktober 2009 namun malangnya niat kami untuk mengadakan perjumpaan berkaitan hal ini telah ditolak atas alasan kesibukan. Kejadian yang terjadi pada malam tersebut bolehlah diistilahkan sebagai "collective unconsciousness" yang boleh diperjelaskan dalam ilmu "crowd psychology" (psikologi kumpulan). Oleh itu untuk program seterusnya yang melibatkan ramai penonton adalah sangat digalakkan untuk penganjur membuat satu mekanisma yang praktikal untuk mengawal orang ramai terutamanya pelajar antarabangsa.

2) Perkara kedua yang amat-amat disesalkan adalah masuknya pengaruh arak dan alkohol kedalam program tersebut. Ada kemungkinan pihak atasan tidak menyedari hal ini tetapi natijah dan kesan alkohol ini dalam program adalah terlalu ketara menyebabkan banyak perkara yang tidak diingini berlaku, bahkan ada pencabulan juga dilaporkan didalam program tersebut. Adalah menyedihkan pihak keselamatan tidak bersedia tentang hal ini menyebabkan kredibiliti mereka sangat-sangat diragui. Pengharaman alkohol dan dadah dikawasan kampus bukanlah sesuatu yang asing bagi pihak pelajar tetapi ianya seolah tidak dihadam dan difahami oleh pihak keselematan yang mengambil tindakan acuh tidak acuh dalam hal ini.

3) Penganjur juga tidak mengambil berat dan gagal bertindak dalam hal-hal kebajikan peserta dimana kejadian pelajar yang pengsan gagal diuruskan dengan baik menyebabkan ramai pihak mengambil kesempatan kepada pelajar tersebut. Ini adalah amat menyedihkan kerana ianya adalah satu kewajipan kepada penganjur dalam apa-apa sahaja aktiviti yang dianjurkan.

4) Program ini juga dilihat mengandungi unsur hiburan melampau yang melewati batasan moral dan akhlak terutamanya dalam Islam. Adalah dimaklumi bahawa program itu bukanlah untuk pelajar Muslim semata-mata dan ianya melibatkan bukan Islam, tetapi perlulah menghormati peraturan didalam negara dan negeri ini yang menitikberatkan tentang adab dan moral dalam semua perkara.


Adalah suka diingatkan, Rasulullah s.a.w dalam banyak hadith membicarakan sesuatu hukum akan memberi pengajara secara kolektif, seperti contoh "perasuah dan penerima rasuah akan masuk kedalam neraka" , ataupun dalam hal arak, sepuluh golongan yang bersekongkol dengan arak akan terpalit dengan dosa. Jadi, jika bersekongkol dengan majlis yang mendatangkan dosa dan boleh mencepatkan bala dari Allah, maka apa pula kedudukannya? Fikir-fikirkan bersama.

Wassalam

ABDUL RASYIID BIN MUSTAFA
Presiden Persatuan Mahasiswa Islam
Kumpulan Pendidikan Legenda
Sesi 08/09

Seputar Pengenalan Risalah Tauhid

Kitab Risalah Tauhid yang asal adalah satu terjemahan daripada kitab arab dalam ilmu tauhid yang diguna pakai sebagai satu kitab wajib dalam sistem pembelajaran di Mesir pada lewat tahun 1900-an.Proses penterjemahan ini dilakukan oleh Allayarham Yang Terhormat, Dato’ Haji Abdullah bin Abdul Rahman, bekas yang Dipertua Jabatan Agama Johor.

Namun, oleh kerana orientasi pembelajara di Nusantara sedikit berbeza dengan di Timur Tengah dari segi pemahaman terjemahan bahasa dan masalah-masalah yang berbeza di kawasan yang berlainan, maka dua orang ulama telah mengambil keputusan untuk menambah baik penterjemahan ini dengan memasukkan beberapa masalah aqidah yang dikira perlu untuk dipelajari oleh para penuntut dalam mendepani masalah di tanah air sendiri. Ulama yang bertanggungjawab dalam hal ini adalah Ustaz Abdul Ghani Yahya dan Ustaz Umar Yusuf dan selesai disiapkan pada 6 November 1952, bersamaan 18 Safar 1372.

Semoga Allah mencucuri rahmat kepada mereka dan diharapkan para sahabat dapat mengambil manafaat dari Kitab ini.

Wassalam

Ekspidisi Jelajah Ilmu

Jom Top Up Pahala!

Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barokatuh :)

Kepada semua sahabat-sahabat Legenda Darul Hikmah, disini kami nak memberitahu dan mengajak sahabat-sahabat yang lain untuk sama-sama datang ke majlis ilmu ini.

Program 1

Usrah Qubra
Oleh: Ustaz Khairol Rizal Bin Mustapha
Waktu: Selepas solat mahgrib
(Jemaah bersama)
Lokasi: Surau akademik
(Surau biru)
Yuran: RM Free
Nota: RM Free
Selepas usrah ada jamuan: Juga RM Free

Program kedua pula adalah program luar. Inisiatif sahabat-sahabat kita yang jiwanya membuak-buak nak mengenal Allah, sejauh manakah kita mengenal Allah? Jadi, kami juga mengajak sahabat-sahabat untuk sama-sama turut serta ke ekspidisi jelajah ilmu. :)

Program 2
Talaqi Kitab Tauhid
Oleh: Ustaz Rahman
Lokasi: Di Surau rumahnya, Lenggeng
Waktu: selepas mahgrib
(Jemaah bersama)
Yuran: RM Free
Nota: RM4.40 (Kitab)
Kenderaan: boleh tolong-tolong =)

Jadi, pada siapa yang berminat, boleh la menghubungi Saudari Alifah atan Saudara Rasyiid untuk sebarang pertanyanaan. Jangan segan, jangan malu, ini majlis ilmu! :)

wallahualam, wassalam..

Hebahan

Program Pengisian Sempena Ramadhan al-Mubarak




Semua warga Legenda yang dikasihi dijemput hadir.



Tahniah!


Di kampus Legenda sedang hangat dengan orang konvokesyen. Dikesempatan ini, PMI Legenda ingin mengucapkan tahniah kepada mereka-mereka yang menerima sijil konvo pada hari ini (Ahad 9/8/09) di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur.

Diharapkan ianya suatu suntikan semangat baru unruk lebih berjaya keperingkat yang lebih tinggi. InsyaALLAH......amin.

KEPADA GOLONGAN YANG BERFIKIR..

Program Yang amat baik diikuti. Benda yang baik wajar tolong dipromosikan.



Ahad, 2 Ogos 2009 :: 8.30pg-5.15ptg :: Dewan Auditorium Daeng Chelak, Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam Selangor

"Di atas robohan Kota Melaka, kita dirikan jiwa merdeka, bersatu padulah seluruh baka, membela hak keadilan pusaka"
(Ucapan Almarhum Dr. Burhanuddin Al-Hilmi pada Disember 1946 dalam Kongress PKMM yang ke-2 di Melaka)

PENGENALAN

Membentuk jiwa merdeka adalah ungkapan yang sering diulang-ulangkan oleh Al-Marhum Dr. Burhanuddin Al-Hilmi setiap kali beliau berucap. Sebagai pejuang Islam, Almarhum sentiasa menumpukan perhatian kepada perjuangan menegakkan jiwa merdeka sesuai ajaran Islam yang mahukan penganutnya tidak berjiwa hamba. Adapun konsep jiwa merdeka seperti diajukan oleh Almarhum tidak bermakna insan itu lepas bebas hingga perilakunya tidak perlu merujuk kepada ketentuan dan kuasa Allah s.w.t. Justeru itu, Pusat Kecemerlangan Ummah mengambil inisiatif mengadakan seminar ini untuk membahaskan persoalan “Jiwa Merdeka” dalam bicara ilmu bagi mengisi makna sebenar menghadapi cabaran era globalisasi kini.

TARIKH: Ahad - 2 Ogos 2009

MASA: 8.30pg-5.15ptg

TEMPAT: Dewan Auditorium Daeng Chelak, Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam Selangor


SASARAN PENYERTAAN TERBUKA KEPADA:
300 jemputan terdiri daripada cendiakawan, ahli politik, badan bukan kerajaan, agensi-agensi kerajaan, wakil-wakil institusi pendidikan tinggi awam dan swasta, ahli-ahli akademik, mahasiswa, pelajar, lain-lain pertubuhan dan orang awam yang berminat.

TEMA: "Membentuk Jiwa Merdeka”

PERASMI: YAB Tuan Guru Dato’ Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat (Menteri Besar Kelantan)


SLOT WACANA POLITIK OLEH:
Dr. Muhamed Anwar Omar Din (Pensyarah Fakulti Sains dan Kemanusiaan, UKM)
YB Datuk Paduka Husam Musa (Exco Kerajaan Negeri Kelantan)
YB Dato’ Kamaruddin Jaafar (Ahli Parlimen Tumpat)

SLOT FORUM OLEH:
Ybhg. Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Khoo Kay Kim (Tokoh Sejarah)
YB Dr. Dzulkefly Ahmad (Ahli Parlimen Kuala Selangor)
Tn.Hj. Said Zahari (Bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu)
Moderator:
YB Khalid Abd Samad (Ahli Parlimen Shah Alam)

PENUTUP: YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim (Ahli Parlimen Permatang Pauh)

ANJURAN: Pusat Kecemerlangan Ummah (Ummah Centre)

YURAN PENYERTAAN:
RM25 sahaja/individu (Bayaran adalah termasuk kit seminar, minum pagi, makan tengahari, minum petang serta kos pengurusan.)

Cara Pendaftaran:

* Melalui SMS atau email : Nyatakan

PENDAFTARAN & MAKLUMAT LANJUT
Sila hubungi:

Azlin: 013-303 7867
Nurani: 013-611 4832

Tel: 03-5510 4611
Fax: 03-5511 1032
Email: ummahcentre@yahoo.com

Daftar segera, tempat adalah terhad.

Kepada warga legenda jangan lepaskan peluang..jomm!~~

DISKRIMINASI

Kematian MJ, Pembunuhan Marwa

& Muslim China

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

racist2.jpg

Sibuk benar pihak media satu dunia meraih keuntungan di atas kematian Micheal Jackson (MJ). Manakan tidak, majlis peringatan MJ di Los Angeles baru-baru sahaja telah menarik minat dan tontonan oleh lebih 2 billion manusia. Rancangan tersebut turut mendapat pehratian jutaan umat Islam yang masih lagi mencari-cari tanda keislaman MJ di majlis tersebut, namun rasanya mereka hampa, tiada sebarang ciri Islam di majlis tersebut walau satu peratus.

Berita kematian MJ berterusan mendapat liputan media, amat meluas dan masih mempunyai magnet untuk menarik pembaca dan peminatnya di serata dunia. Media seperti biasa, berlumba-lumba mencari keuntungan dari kematian dan kehidupan seseorang. Kini, wujud berita baru hasil pendedahan kakaknya yang menyatakan MJ dibunuh melalui satu konspirasi individu di sekelilingnya.

KISAH MUSLIMAH MARWA SHERBINI DIBUNUH DI GERMANY

marwa.jpg

Gambar : Al-Marhumah Marwa, suami dan anaknya

Pada masa yang sama, saya lebih amat tersentak lagi marah dengan pembunuhan Dr Marwa el-Sherbini. Si pembunuh manusia celaka bernama Alex W, penganggur dan penyokong parti pro Nazi German, dia yang berasal dari Russia sebelum itu didapati bersalah mengucapkan kata-kata kurang sopan serta maki hamun kepada Dr Marwa di khalayak ramai pada bulan November yang lalu. Si celaka menjerit melolong kepada Marwa, melaungkan kata "terrorist" dan "Islamist whore" sewaktu berada di Dresden park. Ketika itu, Marwa meminta izin untuk meletakkan anaknya di buaian di taman berkenaan, tetapi si celaka tersebut tidak membenarkan, lalu pertengkaran terjadi.

Si celaka itu diheret oleh Marwa ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman Euro 780. Namun si celaka ini membuat rayuan yang menyebabkan ia bertemu wajah sekali lagi dengan Marwa di mahkamah. Dengan pisau di tangannya si celaka ini menyerbu Marwa yang sedang mengandung tiga bulan lalu menikamnya sebanyak 18 kali di dalam mahkamah di hadapan hakim!.Peristiwa ini berlaku pada 1 Julai 2009 yang llau.

Satu susana yang tidak masuk dek aqal, bagaimana boleh si celaka ini membawa pisau di dalam sebuah mahkamah? Dan bagaimana ia boleh menikam sebanyak 18 kali tanpa gangguan segera dari pengawal dan orang sekelilingnya. Suami Marwa tangkas menerpa untuk membantu namun rupanya mereka terlupa sedang berada di ‘medan perang'. Suaminya ditembak oleh pihak polis semasa ingin membantu isterinya, sedangkan si celaka pembunuh dibiar hidup. Polis menggunakan alas an murahan apabila berkata ‘tersilap sangka', mereka sangkakan suaminya adalah pembunuh. Syeikh al-Azhar Syeikh Muhammad Tantawy mendesak pihak Germany untuk mengenakan tindakan berat kepada si pembunuh. Namun sejauh manakah seriusnya mahkamah akan bertindak terhadap si pembunuh, tidak dapat dipastikan?

Adalah wajar jika dapat pelajar Islam di Germany bergabung tenaga dengan umat Islam di tempat masing-masing menghantar memorandum mendesak tindakan keras ke atas si pembunuh.!

Malangnya, berita ini langusng tidak dihebahkan dan disneypakan dari media barat khususnya. BBC senyap sunyi, sedangkan berita mahkamah Dubai yang menjatuhakn hukuman kepada dua warga British yang mengadakan hubungan seks terbuka di pantai Dubai, dihebohkan, mahkamah dubai dikritik seolah melakukan satu tindakan jahat.

Namun, kisah wanita Islam yang mengandung di tikam di dalam sebuah mahkamah di hadapan hakim di sebuah Negara yang membangun kononnya tidak langsung diambil endah. Teringat saya kepada pengalaman bertamu di beberapa daerah di Germany, tidak disangka begitu hodoh wajah sebenar negara tersebut, lebih khusus sebenarnya kepada bangsa Rusia, yang mana warga Rusia sememangnya terkenal sebagai amat bersifat perkauman lagi berjiwa ganas dengan selainnya. Kepada para pelajar Malaysia di Germany dan Russia, jagalah diri anda sebaik-baiknya.

THAILAND & URUMQHI CHINA

Selain berita itu, kita juga mengeluh panjang membaca berita pembunuhan umat Islam beramai-ramai di Selatan Thailand dan juga kezaliman serta penindasan di Bandar Urumqhi, China. Semua maklumat ini amat patut mendapat perhatian kita dan pemimpin negara-negara umat Islam. Berkenaan peristiwa berdarah di China, Kerajaan Turki telah berusaha melaksanakan tanggungjawab mereka Presiden mereka, Recep Tayyib Erdogan, [1] mengutuk tindakan China secara terbuka, malah menyeru pemboikotan barangan dari Negara China, selain itu menawarkan visa bagi pemimpin masyarakat Islam Urumqhi yang berada di dalam buangan di Washington, Rebiya Kadeer. Kita masih menunggu sebarang kenyataan dan tindakan pimpinan Negara kita.

Dalam kejadian terbaru di Urumqi dalam wilayah Xinjiang, dianggarkan 1,000 hingga 3,000 penunjuk perasaan berhimpun di Dataran Rakyat. Mereka membantah kematian beberapa pekerja kilang alat permainan akibat perkelahian antara kaum Uighur dengan kaum Han China pada 25 Jun lalu.

Angka kematian akibat pergaduhan antara penduduk Han Cina dan Islam Uighur meningkat kepada 184 orang. Menurut laporan BBC yang berat sebelah melaporkan bahawa jumlah kaum Han yang terbunuh adalah lebih besar dari penduduk Muslim, malah diprovok dengan laporan sebahagian yang terbunuh adalah wanita. Sedangkan sumber-sumber lain mengatakan jumlah sebenar kematian penduduk Muslim tidak didedahkan dengan sebenar.

Situasi buruk itu kelihatan berubah sedikit demi sedikit sehingga kelihatan berubah menjadi tindakan penghapusan etnik, keadaan ini memaksa majoriti umat Islam meninggalkan kawasan tersebut agar tidak disakiti dan dibunuh.

Puak Etnik Han pula berarak di jalan di sini awal minggu ini sambil memegang pisau, kapak, pisau pemotong daging dan senjata buatan lain berazam untuk membalas dendam ke atas etnik Uighur.

Dilaporkan bahawa pemberita menyaksikan samseng Han menyerang dua penduduk Uighur dalam serangan berasingan tetapi warga Uighur mendakwa banyak lagi serangan berlaku walaupun kehadiran anggota keselamatan. Polis rusuhan dan tentera terus memenuhi bandar ini.

DITINDAS PUNCA TIDAK PUAS HATI MUSLIM

Kebanyakan mereka kecewa dengan layanan kerajaan yang lebih mengutamakan penduduk majoriti daripada kaum Han. Kaum Han bukan sahaja menguasai ekonomi, tetapi juga budaya dan tradisional China. Selain itu, masjid-majsid juga telah diarahkan untuk ditutup.

Umat Islam di Xinjiang adalah penduduk asal dan menguasai wilayah Xinjiang namun kini mereka dipandang sebagai penduduk kelas kedua. Mereka ini bukan sahaja ditindas kerana agama tetapi lebih terarah kepada cubaan asimilasi dan dominasi oleh China.

Kebanyakan perniagaan dikuasai oleh penduduk Han dan rumah-rumah penduduk Uighur telah dimusnahkan untuk memberi laluan kepada kemasukan kaum Han. Kebanyakan peluang pekerjaan turut dikuasai oleh puak Han. Lebih menyedihkan budaya kaum Uighur telah diketepikan dan mereka kini umpama golongan minoriti yang terpaksa menumpang di wilayah sendiri walaupun hakikatnya adalah sebaliknya.

Kaum Uighur mengatakan kebanyakan dasar-dasar kerajaan tidak berlaku adil kepada mereka demi memberi tempat kepada penghijrahan kaum Han Cina ke wilayah Xinjiang dan ini telah menimbulkan ketegangan etnik dan menaburkan benih-benih keganasan.

Dari segi kemanusiaan penindasan sebegini tidak seharusnya berlaku. Kaum Uighur hanya mahukan keadilan dan hak mereka dikembalikan. Namun laungan mereka ini tidak mendapat sebarang pembelaan dari kerajaan China. Sesungguhnya pihak berkuasa China tidak harus menyalahkan kaum Islam Uighur sahaja dalam setiap rusuhan yang berlaku. Sebaliknya mereka perlu kembali memberikan keadilan dan kebebasan kepada penduduk asal Xinjiang ini.

Kaum Uighur ini ditindas dari menikmati hasil dari kawasan mereka seperti gas, minyak dan 121 jenis mineral dan 148 jenis yang dikeluarkan oleh China. Regim komunis di sana turut membakar buku-buku berkaitan ilmu Islam, mengganggu masjid dan berusaha menghapuskan Islam dari kawasan kaya terbabit.[2]

KESIMPULAN

Semoga kita lebih celik dengan beberapa peritiswa hitam dan pembunuhan zalim terhadap umat Islam. Penindasan umat Islam kini berada di mana-mana. Kami yang berada di UK sebenarnya turut merasai sikap perkauman yang diamalkan oleh warga Britain ini. Sebuah akhbar Islam di UK, pernah melaporkan lebih 50% pelajar Islam di sekolah-sekolah seluruh UK mengalami pengalaman dicerca dan diejek dengan bahasa perkauman dan kebencian kepada Islam.

Anak saya sendiri pernah mengalaminya ketika berada Wales dan juga di Leicester. Tudung yang dipakai oleh anak perempuan saya pernah diejek budak lelaki tahun 5 sebagai ‘ayam'.! Cermin tingkap rumah seorang rakan saya pernah dibaling batu oleh beberapa orang budak sekolah, demikian juga cermin belakang kereta MPV Honda saya yang pecah akibat sifat perkauman ini. Ini adalah web yang sangat baik untuk memberikan informasi berkenaan kezaliman yang berlaku kepada Muslim di seluruh dunia, di barat khususnya. Info anti Islam di Barat .

Kalau sifat perkauman ini dikira logik di negara barat, tetapi amat malang sebenarnya ia juga wujud di Negara-negara Arab yang merasakan diri mereka lebih mulia daripada bukan arab. Pelajar Malaysia kerap diperleceh di Jordan, Mesir dan lain-lain Negara. Malah sebahagian ulama berbangsa Arab juga tidak kurang kuat sikap perkaumannya. JIka itulah di Negara umat Islam sendiri, tidak hairanlah ia berlaku di Negara bukan Islam.

Buanglah sikap perkauman yang merugikan ini, Islam tidak menghalang cinta kepada Negara dan kaum, namun mestilah ia berada di belakang cinta Allah, Rasul dan jihad di jalanNya. Firman Allah swt :-

Ertinya : Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya."" Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik ( At-Taubat : 24 )

Akhirnya, sama-sama kita berdoa agar mereka yang terkorban di Xinjiang, Thailand dan Dr Marwa di beri keampunan dan diberi ganjaran yang sebaiknya oleh Allah swt. Juga buat seluruh umat Islam yang berjuang dan dizalimi sejak zaman baginda Nabi s.a.w sehinggalah kini.